
Hari ini adalah hari keempat berpuasa. Cukup cepat masa berlalu. Ramadhan kali ini kami sambut dengan sederhana tetapi amat menggembirakan kami sekeluarga, iaitu di negara sendiri. Terkenang saat berpuasa di Glasgow dulu. Berbuka dengan juadah ala kadar masakan isteri tersayang. Tak banyak pilihan. Kini, di Malaysia, isteri sempat memasak nasi dan lauk tetapi juadah sampingan,...masyaAllah pelbagai pilihan. Boleh dibeli di Pasar Ramadhan. Biasanya kami akan membeli satu atau dua jenis kuih pembuka puasa...biasalah...aku suka yang masin tawar seperti karipap atau cakoi manakala Saba suka kuih manis seperti seri muka, tepung pelita dan banyak lagi. Tetapi di bulan puasa ini sikap kesederhanaan perlu diamalkan...jadi kami biasanya beli kalau seringgit tu campur-campur kuih. So merasa seketul dua seorang saja. Haziq pun bukan suka makan kuih cuma dia paling suka kuih lapis. Kuih lain langsung di'reject'nya.

Di Serdang, cuaca pula ayik hujan dari tengahari tadi. Aku di pejabat membuat proposal projek yang belum siap. Bukan mudah untuk membuat proposal untuk mendapatkan geran penyelidikan beratus ribu ringgit nilainya. Satu proposal telah dihantar kepada Pengarah aku, kini satu lagi proposal memeningkan kepala. Artikel untuk diterbitkan juga belum selesai. Hai...bukan mudah nak buat kerja dalam masa yang ditetapkan tambah lagi kena masuk makmal untuk buat eksperimen. Selalunya bila dah balik ke Malaysia ini, staf yang akan buat eksperimen, tapi datanya aku yang kena buat analisis. Memeningkan...lepas itu buat penerbitan samaada jurnal atau artikel. Hmm...cabaran seorang penyelidik. Moga Allah memudahkan urusanku dalam berkerjaya, berkeluarga dan berkehidupan di bumi ini. Amin.